mutakhir

Lelaki miliki senapang buatan sendiri untuk tembak burung ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Lelaki ditahan kerana memiliki selaras senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di Pantai Remis, di sini, hari ini.

Penahanan suspek berusia 27 tahun itu dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati suspek membuat sendiri senapang itu dan mendakwa ia digunakan hanya untuk menembak burung.

"Suspek menafikan dia terbabit dalam kegiatan jenayah menggunakan senjata berkenaan dan pemeriksaan turut merampas satu straw disyaki syabu seberat 0.20 gram.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pantai Remis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 8:47pm
d