mutakhir

Sebar dakyah agama lain, kutip derma tipu umat Islam

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat kegiatan seorang pendakwah bukan Islam yang membuat kutipan derma secara haram dan mengelirukan umat Islam di daerah ini.

Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Johor mendakwa aktiviti wanita berkenaan menyebabkan ketidaktenteraman dan mengganggu keharmonian agama Islam di negeri ini.

Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi berkata, gesaan itu hadir susulan satu klip video yang didedahkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung melalui laman Facebook Jumaat lalu.

"Wanita itu didakwa menggunakan akaun Facebook untuk meminta derma daripada orang Islam dengan menggunakan akaun bank peribadinya.

"Wang yang diterima itu kemudian dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti kebajikan kepada masyarakat di Kluang termasuk memberi derma dan sedekah dan menganjurkan kelas al-Quran kepada orang Islam di Kluang.

"Individu berkenaan juga menggunakan ayat-ayat bersifat Islamik bagi tujuannya itu walhal beliau adalah bukan Muslim.

"Menerusi pendedahan dalam klip video itu, terdapat bukti ramai orang Islam yang terpedaya dengan taktik itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IKHLAS Johor Kamalariffin Abdul Rahman.

Katanya, laporan polis berkenaan dibuat bagi menjamin kesejahteraan agama Islam sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Siasatan lanjut dan tindakan tegas juga mesti diambil kerana pihak berkenaan sudah menipu dengan menyalahgunakan akaun bank persendirian mengutip sumbangan orang terutama orang Islam bagi tujuan dakwah agama lain," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 1:48pm
d