mutakhir

Remaja hidap kanser otak dibawa naik helikopter jumpa datuk, nenek [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Hasrat seorang gadis yang mengidap kanser otak tahap tiga di Langkawi untuk berjumpa dengan nenek dan datuknya di Pokok Sena seterusnya menyambut Aidilfitri bersama akhirnya tercapai, hari ini.

Noraifa Azira Abdul Aziz, 14, diterbangkan menggunakan helikopter ihsan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim hari ini.

Gadis itu diterbangkan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, Langkawi kira-kira jam 11 pagi, dan tiba di SK Bukit Hijau 40 minit kemudian sebelum dibawa ambulans Briged Sukarelawan 1 Malaysia (BS1M) Sik dan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (YJM) ke rumah neneknya di Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang, Pokok Sena di sini.

Ibunya, Roslina Aaswira Azmi, 38, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu terlantar sejak tahun lalu selepas doktor mengesahkan tiada lagi kaedah atau rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya.

"Ketika Noraifa berusia 9 tahun iaitu pada 2013, terdapat tumor pada saraf tunjangnya dan doktor menjalankan pembedahan untuk membuang tumor di kepalanya.

"Namun, pada usia 11 tahun, kanser kembali menyerang dan doktor melakukan empat kali rawatan kimoterapi tetapi tiada sebarang perubahan dan tumor itu semakin membesar.

"Sejak tahun lalu dia mula terlantar dan akhir-akhir ini dia tidak berselera makan, sejak minggu lalu hampir setiap hari dia mengadu rindu kepada neneknya dan mahu balik beraya di kampung selepas tiga tahun tidak pulang kerana penyakitnya," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena hari ini.

Roslina berkata, dia sangat berterima kasih kepada aktivis Muslim CareMalaysia (Muslim Care) Natipah Abu yang berusaha menunaikan hasrat Noraifa untuk pulang ke kampung halamannya.

"Terima kasih juga kepada Setiausaha Peribadi kepada Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Datuk Kamil Din yang menguruskan penerbangan ihsan ini, hanya Allah saja yang mampu membalas jasa baik mereka.

"Hari ini saya nampak Noraifa sedikit ceria selepas dapat jumpa datuknya Azmi Harun, 63, dan neneknya Siti Hawa Osman, 63," kata suri rumah itu.

Sementara Noraifa ketika ditemui berkata, dia gembira dapat berjumpa dengan nenek dan datuknya walaupun dalam keadaan begitu.

"Saya seronok hari ini akhirnya dapat balik rumah tok, terima kasih semua yang tolong saya hari ini," katanya dengan suara yang perlahan.

Sebelum ini tular di media sosial, usaha Natipah Abu untuk menunaikan hasrat Noraifa selepas tersentuh dengan kisah gadis itu.

Natipah berkata, pada awalnya dia mahu menyewa bot laju namun ia tidak sesuai dengan keadaan Noraifa, sebelum memohon penerbangan ihsan pihak berkuasa seperti bomba.

"Saya perlu membuat surat permohonan dan ia mengambil sedikit masa, selepas itu saya cuba menyewa helikopter namun banyak yang tidak beroperasi kerana pandemik Covid-19.

"Akhirnya saya menghubungi Datuk Kamil, dan pihaknya bersetuju menerbangkan Noraifa hari ini," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 4:54pm
d