mutakhir

Budak ditemui sendirian sudah diserah kepada ibu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemui berseorangan di taman permainan di Taman Sinar Intan, di sini, diserahkan semula kepada ibu kandungnya dalam tempoh dua jam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kanak-kanak itu ditemui orang awam pada jam 10.30 pagi sebelum dimaklumkan kepada kepada Pasukan Sukarela CRSM Sungai Petani dan dihantar ke Balai Polis Sungai Petani untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak itu diserahkan kepada ibunya semula di Balai Polis Sungai Petani pada jam 12.45 petang.

"Hasil temubual ibu kanak-kanak itu mendapati, wanita berusia 30 tahun meninggalkan kanak-kanak itu kepada jirannya pada jam 9.30 pagi kerana hendak ke pekan membeli barang.

"Namun, kanak-kanak itu dipercayai keluar dari rumah jirannya untuk bermain seorang diri di taman permainan yang terletak 80 meter dari rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, ibu kanak-kanak itu memaklumkan dia dihubungi rakannya yang memberitahu anaknya diserahkan ke Balai Polis Sungai Petani oleh orang awam lalu bergegas ke balai polis untuk mengambilnya kembali.

Beliau berkata, tiada sebarang laporan polis dibuat berkaitan perkara ini.

Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 5:10pm
d