mutakhir

Kaji punca keharmonian rakyat tergugat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pemikir hal ehwal kenegaraan digesa menjalankan satu kajian sikap mengenai punca berlakunya isu yang menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat kebelakangan ini.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Datuk Ismail Awang berkata, sudah tiba masanya satu kajian menyeluruh diadakan bagi mengenalpasti faktor mengapa masih ada pihak yang mengeluarkan kenyataan, menggugat sensitiviti umat Islam terutama berkaitan agama, institusi raja dan perlembagaan persekutuan.

Katanya, pemerhatian Permas mendapati, sudah sampai masanya kajian sikap dijalankan dengan mengambil kira pandangan dari pertubuhan bukan Islam juga supaya lebih menyeluruh.

"Selaku NGO Islam, Permas mengambil maklum beberapa isu yang berlaku di dalam negara mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan, menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

"Permas bimbang jika isu membabitkan agama ini tidak diselesaikan dengan kaedah yang paling matang, ia akan berulang pada masa depan.

"Isu seperti larangan berpuasa oleh majikan, penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong serta cadangan untuk menggugurkan perkataan Islam untuk menjadikan negara lebih maju adalah rentetan sikap yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam negara," katanya.

Ismail berkata, Permas dan lain-lain NGO turut ingin memberikan buah fikiran berdasarkan pengalaman bergerak sebagai badan bukan kerajaan sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, dengan kajian oleh mereka yang pakar berkenaan, ralyat negara ini akan memahami satu halatuju bersama selain meraikan masyarakat yang pelbagai di Malaysia.

"Kita berharap kajian berkenaan akan dibentangkan kepada kerajaan dalam bentuk resolusi daripada pemikir yang mewakili pelbagai aliran yang sayangkan negara ini.

"Ia penting untuk generasi akan datang memahami betapa bertuahnya kita tinggal di bumi Malaysia secara aman damai sejak puluhan tahun lalu. Kita perlu kekalkannya begitu," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 11:29pm
d