mutakhir

30 penunggang berlanggar sesama sendiri

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan kira-kira 30 motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu, di sini, semalam.

Lelaki berusia 18 tahun yang juga pekerja sambilan itu cedera di tangan dan di bahagian belakang badan akibat kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan, AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 10.20 malam.

Katanya, siasatan mendapati sekumpulan penunggang motosikal itu terbabas dan berlanggar sesama sendiri sebaik sahaja kereta peronda (MPV) polis tiba di tempat kejadian.

"Akibat pelanggaran itu, lelaki berkenaan mengalami cedera di tangan dan bahagian belakang serta dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.

"Mereka dilihat menunggang motosikal secara berkumpulan dan siasatan masih dijalankan sama ada mereka terbabit dengan aktiviti rempit," katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 10:43am
d