mutakhir

Acryl ambil alih jawatan KPN

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontraknya, hari ini

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Pada majlis itu, Ismail turut memakaikan pangkat Inspektor Jeneral kepada Acryl.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Abdul Hamid dan Acryl serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Ismail.

Turut diadakan, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di antara Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Seri Nor Azrin Marzuki dengan Datin Seri ir Zaitun Mohd Isa disaksikan isteri Ismail, Datin Sri Nor Azimah Abdul Mubin.

Acryl Sani dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor, dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).

Beliau menyertai PDRM pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP).

Sepanjang tempoh perkhidmatan dalam PDRM, beliau berpengalaman memegang pelbagai jawatan, termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab PDRM, Ketua Polis Terengganu dan Perak serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Acryl Sani juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), selain menyandang jawatan Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.

Seterusnya, beliau memegang jawatan Pengarah beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2020.

Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 11:06am
d