mutakhir

Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa berpegang kepada 'amar makruf nahi munkar' dan menjalankan setiap tugas dengan penuh amanah serta integriti.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut mengingatkan malaikat Raqib dan Atid sentiasa ada di kiri dan kanan bagi mencatat amalan baik dan buruk.

"Saya masih begitu gusar untuk meninggalkan pasukan keramat ini yang masih bergelut dengan konflik 'war of perception' yang tidak berkesudahan dan terus menerus dihukum 'by the court of public opinion'.

"Untuk itu, saya menyeru kepada semua warga PDRM supaya kita dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah. Ya, kita tidak mungkin mampu untuk memuaskan hati lebih 32 juta orang rakyat Malaysia, namun kita mampu untuk berusaha meningkatkan kualiti 'service delivery' kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau juga tidak menyangka perjalanan kariernya sebagai pegawai boleh akan pergi sejauh ini.

"Saya tidak menyangka memulakan perkhidmatan dalam PDRM pada 4 November 1979 akan pergi sejauh ini dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Negara.

"Umum mengetahui saya pernah meninggalkan pasukan untuk bersara pilihan namun selepas tiga tahun saya dipanggil kembali dan kini selepas hampir empat dekad tiba masanya untuk saya mengundur diri," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang membacakan teks ucapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan merakamkan setinggi penghargaan kepada Abdul Hamid atas sumbangan serta khidmat bakti dicurahkan kepada pasukan.

"Segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang ditaburkan kepada negara serta pasukan amat besar nilainya, di kesempatan ini juga kerajaan Malaysia merakamkan tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 12:26pm
d