mutakhir

Varian B.1.351 dibawa rakyat Kelantan hadir kenduri

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kewujudan varian Afrika Selatan B.1.351 di Kelantan sehingga semalam dipercayai akibat penduduk Kelantan yang hadir kenduri di Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, varian itu dikesan hasil pergerakan rentas negeri.

Katanya, sehingga semalam sebanyak 10 kes dikesan membabitkan varian berkenaan dari Kluster Bunut Sarang Burung.

"Untuk kes varian Afrika Selatan B.1.351 ini, kita mengesan ia hasil pergerakan rentas negeri. Mungkin rakyat Kelantan pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri sebelum membawa balik varian berkenaan.

"Untuk kes tercetus dari pergerakan rentas negeri, kita tidak boleh menyalahkan perantau semata-mata kerana ia membabitkan kedua-dua pihak iaitu rakyat Kelantan yang berkunjung ke luar selain orang luar masuk ke Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, kewujudan varian di Kelantan itu begitu mengejutkan kerana varian berkenaan mempunyai lima kesan yang menjadikan ia berbahaya.

"Antaranya, kadar kebolehjangkitan (RT) akan menjadi tinggi, mengurangkan imuniti badan selain mereka yang dijangkiti Covid-19 dari varian berkenaan akan menjadi lebih teruk berbanding pesakit lain.

"Justeru, saya mengingatkan semua pihak termasuk golongan VIP supaya tidak melakukan rentas negeri sekiranya tiada urusan penting.

"Perkara ini yang menjadi kesukaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencegah rentas negeri kerana masing-masing mempunyai surat kebenaran," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesan kewujudan varian baharu di negara ini iaitu Afrika Selatan B.1.351 menerusi empat kes penularan tempatan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, varian Afrika Selatan B.1.351 itu pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember 2020 di dua negara iaitu United Kingdom dan Afrika Selatan.

Katanya, di Malaysia varian itu mula dikenal pasti pada Mac lalu dan ia mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 1:50pm
    d