mutakhir

Rentas negeri: Semua pihak sama di sisi undang-undang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Isu rentas negeri dalam kalangan golongan kenamaan, selebriti dan 'instafamous' baru-baru ini mencetuskan perbualan hangat dan perbalahan antara netizen di media sosial.

Ia berlaku susulan tular gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di luar negeri ketika larangan rentas negeri sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Apa yang mengundang kemarahan adalah pihak berkuasa dikatakan berat sebelah dalam mengambil tindakan undang-undang.

Aktivis masyarakat Azman Kang Abdullah berkata, tidak boleh ada 'double standard' dalam usaha membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat di negara ini.

Menurutnya, kerajaan mahupun pihak berkuasa harus tegas dalam melaksanakan undang-undang terutama isu rentas negeri yang menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat.

"Semua pihak tidak kira sama ada pemimpin politik, golongan kenamaan atau rakyat biasa adalah sama di sisi undang-undang.

"Kalau nak laksanakan (larangan rentas negeri), sepatutnya sama rata jangan ada VIP yang boleh dan rakyat biasa tak boleh.

"Tambah pula jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, biarlah saksama jangan ada orang yang balik kampung beraya sementara yang lain tak boleh," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Azman yang juga Presiden Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) menggesa kerajaan meneliti isu itu dan menanganinya segera sebelum ia memudaratkan lagi keadaan.

Beliau berkata, kedaulatan undang-undang mesti dilindungi supaya tidak disalah guna sehingga keadilan tidak dapat dilakukan.

"Hari ini, kita hidup dalam negara aman damai. Jadi kita tidak mahu ada isu yang mencetuskan kemarahan rakyat kepada polis dan kerajaan disebabkan ketidakadilan," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 2:17pm
d