mutakhir

Mayat wanita separuh bogel ditemukan di tepi Sungai Rambai

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Mayat seorang wanita keadaan separuh bogel ditemukan di tepi Sungai Rambai, Bestari Jaya, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat ditemui oleh orang awam pada 7.30 malam.

"Hasil semakan awal mendapati mangsa berpakaian baju kemeja berwarna 'maroon' dan berseluar jeans. Malah, tiada sebarang identiti dijumpai.

"Bagaimanapun, baju mangsa dipercayai dalam keadaan hampir tercabut dan mangsa berada dalam keadaan separuh bogel," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramli berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan hasilnya mendapati, terdapat kesan kecederaan pada fizikal tubuh mangsa.

Beliau berkata, mangsa dipercayai warga tempatan berikutan terdapat suntikan BCG dan

dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam.

Sehubungan itu, Ramli berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd Sufian Amin di talian 012-614 9580 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 8:16am
d