mutakhir

Kawal emosi ketika berjauhan dengan keluarga di Aidilfitri

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sistem sokongan yang baik mampu mengurangkan tekanan seseorang yang berjauhan dengan keluarga.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Saad berkata, saban tahun Aidilfitri pasti diraikan bersama keluarga namun pandemik Covid-19 menyebabkan rutin tahunan itu kini berubah.

Katanya, keadaan itu pasti menyebabkan tekanan kepada seseorang jika ia tidak dapat diurus dengan baik.

"Seseorang itu perlu menstruktur pemikiran mereka menjadi lebih positif agar ia tidak mempengaruhi emosi dan tingkah laku.

"Penstrukturan pemikiran kognitif ini membolehkan seseorang itu menjadi lebih rasional," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, walaupun jauh namun teknologi dapat mengurangkan jurang jarak antara keluarga.

Katanya, walaupun tidak sama jika bertemu secara bersemuka namun teknologi seperti panggilan video mampu meredakan 'tekanan' emosi.

"Dalam suasana pandemik, pelbagai rutin kini terpaksa ditukar dan ia secara semulajadi menyebabkan perubahan emosi khususnya ketika waktu penting seperti Aidilfitri.

"Namun, kita perlu menerima keadaan ini dan memastikan kawalan emosi terus rasional agar tidak mengganggu kehidupan seharian.

"Sistem sokongan juga dalam kalangan keluarga dan komuniti juga perlu ditingkatkan agar ia boleh meningkatkan aura positif dalam diri seseorang," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 2:07pm
d