mutakhir

Litupan kawasan berhutan negara bertambah

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Inisiatif berterusan negara berjaya meningkatkan litupan kawasan berhutan sebanyak 2.6 peratus sepanjang 2005 sehingga 2018.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata, berdasarkan laporan World Resources Institute (WRI), negara mencatatkan pengurangan kehilangan berhutan bagi tempoh empat tahun berturut-turut berikutan pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

"Sehingga tahun 2018, Malaysia mempunyai 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok," katanya dalam kenyataan sempena Sesi Ke-16 Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFF) diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 26 sehingga 30 April lalu secara maya.

Turut menyertai forum itu adalah pegawai kanan kementerian atau agensi Kementerian Luar Negara; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak serta Pejabat Hasil Bumi dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Shamsul Anuar berkata, dalam mesyuarat itu Malaysia turut menegaskan pelbagai usaha sudah diambil dalam memenuhi komitmen ketika Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 di Rio de Janeiro, Brazil.

Selain itu katanya, Malaysia turut memaklumkan pencapaian di bawah pensijilan hutan menerusi Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) dan Forest Stewardship Council (FSC).

"Sehingga kini, Malaysia mempunyai sejumlah 5.84 juta hektar kawasan hutan yang mendapat sijil itu," katanya.

Turut dibincangkan adalah Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 dan Malaysia turut menekankan kepentingan akses kepada sumber kewangan, perkongsian teknologi dan pembangunan modal insan bagi mencapai pelaksanaan PHSB.

"Selain itu, Malaysia berpendirian bahawa laporan Global Forest Resources Assesment (FRA) sedia ada adalah mencukupi dan boleh dimanfaatkan untuk membekalkan maklumat dan analisis perhutanan di peringkat global," katanya.

Shamsul Anuar berkata, menerusi Agenda Monitoring, Assessment and Reporting (MAR) Malaysia menegaskan kepentingan membangunkan keupayaan pengumpulan data supaya dapat menambahbaik sistem maklumat perhutanan.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 2:13pm
d