mutakhir

Remaja 16 tahun ditahan edar dadah [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Seorang remaja berusia 16 tahun antara sembilan lelaki ditahan polis dalam empat serbuan berasingan kerana dipercayai terbabit mengedar dadah di kawasan Felda sekitar Jerantut, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Khamis berkata, kegiatan mengedar dan menagih dadah semakin berleluasa di kawasan Felda dan empat serbuan itu dilakukan di Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Lepar Utara.

Beliau berkata, pihaknya menahan remaja terbabit di Felda Tekam Utara dan menemui dadah jenis heroin seberat 161.2 gram (g) dan syabu seberat 11g yang dianggarkan bernilai RM6,480 di belakang rumah suspek.

"Penglibatan remaja ini sebagai pengedar serta penagih dadah sewajarnya dipandang serius semua pihak dan menunjukkan kegiatan itu semakin bermaharajalela di kawasan Felda khususnya membabitkan golongan bawah umur.

"Remaja tidak bersekolah itu ditahan untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kemungkinan didakwa di bawah Akta Juvana memandangkan dia masih di bawah umur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut hari ini.

Beliau berkata, serbuan dilakukan bermula malam 2 Mei dan berakhir 8 pagi semalam dan sembilan ditahan itu berusia antara 16 hingga 62 tahun.

Menurutnya, pihaknya merampas syabu seberat 70.13g, heroin (200.2g), ganja (3.81g), 23 liter air ketum dan daun ketum seberat 1.63 kilogram dan kenderaan dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM26,107.

"Remaja yang tidak bersekolah itu bersama tiga yang lain positif dadah setelah menjalani saringan ujian air kencing.

"Tiga orang daripada ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang jika disabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 3:16pm
d