mutakhir

Maut diseret kereta selepas terjatuh langgar lembu

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar lembu sebelum terseret kereta sejauh 60 meter kejadian di Jalan Utama Felda Semenchu di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Mazrul Hakimi Miskan, 23, dari Felda Air Tawar 4 cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha 135 LC itu dalam perjalanan dari Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi menghala masuk ke Felda Semenchu.

"Ketika melepasi kira-kira dua kilometer dari simpang masuk jalan utama Felda Semenchu, mangsa terlanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

"Mangsa kemudiannya terjatuh dan terbaring di atas jalan lorong bersebelahan dan motosikal pula terbabas ke bahu jalan.

"Sebuah kereta Proton Wira dipandu remaja 19 tahun dari arah bertentangan tidak perasan mangsa yang terbaring kerana keadaan jalan gelap tanpa lampu lalu melanggar dan mangsa terseret sejauh 60 meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussin berkata, akibat kejadian itu penunggang motosikal maut di lokasi manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 5, 2021 @ 1:17pm
d