mutakhir

Bapa, 3 abang kandung rogol, liwat gadis didakwa

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Bapa bersama tiga anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan merogol, meliwat serta memukul anak perempuannya.

Tertuduh yang berusia 51 tahun itu berdepan 35 pertuduhan iaitu 33 pertuduhan merogol dan dua pertuduhan mencabul serta memukul mangsa.

Tiga lagi tertuduh yang berusia 23, 27 dan 29 tahun pula didakwa atas 17 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kandung mangsa didakwa merogol, mencabul dan memukul dengan menggunakan getah paip hingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 18 tahun.

Bagi perbuatan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kesemua tiga abangnya pula didakwa melakukan persetubuhan luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah antara 1 Mac tahun lalu hingga 1 Februari 2021.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari dan tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan alasan kesalahan dilakukan kesemua tertuduh adalah serius selain membabitkan darah daging sendiri.

Hakim kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan selain menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Harian Metro pada 23 April lalu melaporkan derita seorang remaja perempuan yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan liwat bapa serta tiga abang kandungnya berakhir apabila keempat-empat lelaki terbabit ditahan polis.

Perbuatan jijik itu terbongkar selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada 21 April lalu.

Disiarkan pada: May 5, 2021 @ 8:29pm
d