mutakhir

Inovasi pelajar SMK Proton City raih 2 pingat emas

Oleh Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, S Karthikgesan, 15, berjaya mengharumkan nama negara dalam pertandingan reka cipta dan inovasi antarabangsa, baru-baru ini.

Reka cipta dan inovasinya iaitu baja kompos daripada bahan buangan pertanian yang dikenali Eco EnviroCompost dan mesin kompos berteknologi solar yang dikenali sebagai Enviro Solar Compost Machine berjaya menggondol dua pingat emas dalam kategori Inovasi Pertanian Hijau dan Kejuruteraan Hijau, pertandingan Global Olimpiad Green Innovation Fair ( GO-GIFT 2021).

Karthikgesan berkata, pertandingan reka cipta dan inovasi secara dalam talian berkenaan berlangsung selama tiga bulan bermula Februari lalu dan disertai 222 kumpulan dari 12 negara.

"Kejayaan ini juga melayakkan saya bersaing dan merebut anugerah dalam kategori Anugerah Istimewa dalam pertandingan yang sama dan bakal diumumkan pada hujung bulan ini.

"Saya amat berbangga dan gembira walaupun dunia masih diancam dengan penularan wabak Covid-19 namun saya masih mampu menyertai pertandingan berkenaan dan seterusnya dapat mengharumkan nama negara," katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Pertandingan berkenaan dianjurkan Global Environmental Invention & Innovation Association (GeiiA) yang berpengkalan di Filipina.

Hadiah dan sijil penyertaan diterimanya secara pos daripada pihak penganjur baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan dalam pertandingan reka cipta dan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebelum ini memberi inspirasi serta motivasi untuk beliau terus melakar kejayaan.

"Ibu bapa dan rakan juga banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus membabitkan diri dalam bidang reka cipta dan inovasi yang bertaraf antarabangsa.

"Berkat kesungguhan dan kesabaran dalam menghasilkan reka cipta dan inovasi akhirnya telah membuahkan kejayaan bukan sahaja kejayaan peribadi namun untuk negara tercinta," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 10:38am
d