mutakhir

Jangan tarik rambut saya, ia tulen bukan palsu

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Pelbagai reaksi orang ramai apabila melihat rambut saya, ada yang menariknya bagi memastikan ia bukan palsu."

Itu kata S Rajah, 60, yang juga peniaga barangan lusuh di Lorong Kulit di sini, yang mana keunikan potongan dan gaya rambutnya menjadi perhatian ramai.

Rajah yang tinggal di Jalan Macalister berkata, dia sudah 40 tahun berniaga di situ dan mengakui tidak kekok menjadi perhatian.

Katanya, tidak kurang juga pengunjung yang datang hanya untuk bergambar dan bertanya mengenai penjagaan rambut.

"Potongan rambut ini saya kekalkan sejak lebih 20 tahun lalu. Saya juga peruntukkan RM50 sehari bagi mencucinya selama sejam di salun.

"Rambut saya perlu dicuci rapi bagi memastikan ia sihat, bentuk kekal dan senang diurus," katanya ditemui.

Berikutan itu, Rajah berkata, ada yang bertindak nakal dengan menarik rambutnya bagi memastikan keasliannya, sebelum berlalu pergi.

Katanya, tindakan itu menyebabkan dia kurang selesa namun menganggapnya hanya gurauan.

"Ia jadi tarikan mungkin kerana bentuknya yang seperti topi keledar, namun saya selesa dan rasa unik dengan gaya ini.

"Jangan tarik rambut saya lagi, ia memang asli dan bukan palsu," kata bapa kepada dua anak itu.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 2:52pm
d