mutakhir

Pendapatan enam angka sebulan jual perencah oden [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Platform laman sosial dimanfaatkan dua sahabat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu ternyata memberi hasil lumayan apabila mereka kini mampu menjana pendapatan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan menerusi perniagaan perencah King Oden segera.

Mereka yang juga penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim dan rakan kongsinya, Imer Jibril Mohd Nasir, yang masing-masing berusia 24 tahun mengusahakan perniagaan itu sejak lebih setahun lalu dan mendapat permintaan tinggi sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Indonesia dan Singapura.

Lebih membanggakan, kerja keras Wan Azehan Helmi yang juga penuntut tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawan dan Perniagaan (Perdagangan) dan Imer Jibril yang baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang sama kini sudah berjaya memiliki sebuah kilang pemprosesan di Bachok pada Mac lalu.

Wan Azehan Helmi berkata, pada awalnya mereka bermula dengan menjual oden sedia dimakan di tapak gerai keusahawanan pelajar disewa di bawah seliaan Pusat Pembangunan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Institut Kesahawanan UMK (UMKEI) yang terletak di UMK Pengkalan Chepa pada 2019.

"Pada ketika itu, hasil jualan oden diusahakan secara kecil-kecilan mendapat sambutan dalam kalangan penuntut, namun setiap kali cuti semester, hasil jualan kami terjejas berikutan ketiadaan pelajar di kampus.

"Sejak itu, saya dan Imer Jibril mula mendapat idea untuk mengkomersialkan produk perencah oden segera dengan jenama King Oden secara paket bagi mengembangkan lagi pasaran perniagaan kami.

"Alhamdulillah, strategi kami membuahkan hasil apabila mampu menjual 30,000 hingga 40,000 paket King Oden yang diedarkan di seluruh negara setiap bulan melalui 500 ejen dilantik bagi pasaran secara dalam talian serta dan 'offline'," katanya ketika ditemui di Kampung Salor.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, sebelum perencah oden dijual dan dipasarkan, mereka beberapa kali membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk makanan dihasilkan terjamin serta berkualiti tinggi.

Katanya, walaupun tidak memiliki kepakaran memasak, mereka menggunakan resipi diadun dengan rempah ratus segar dan sensasi asli tom yam sehingga berjaya menghasilkan pes oden digemari ramai.

"Kami menjual perencah King Oden ini dengan harga RM10 bagi satu pek dan mempunyai tiga perisa iaitu asli, pedas dan asam laksa yang mampu bertahan dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan.

"Perencah oden itu menerima sambutan luar biasa sehinggalah stok pengeluarannya habis dalam tempoh singkat.

"Kami merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan perencah oden dan mahu bersaing dengan jenama makanan popular lain," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 3:06pm
d