mutakhir

Teruja dapat balik kampung [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Kumpulan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) teruja apabila dibenarkan untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga mulai malam tadi.

Seorang penuntut jurusan kimia tahun kedua, Nur Amirah Khadijah shariffuddin, 21, berkata perasaannya bercampur baur kerana tidak sangka menerima kebenaran untuk pulang ke kampung.

Menurutnya, dia amat bersyukur dengan kebenaran diberikan pihak kementerian mahupun pengurusan universiti.

"Sudah empat bulan saya tidak pulang ke rumah keluarga di Kuala Lumpur dan saya juga menjangka tidak berpeluang untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor.

"Alhamdullilah saya dan rakan dibenarkan pulang dan sepanjang perjalanan kami akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Saya berasa gembira dan terharu dengan peluang diberikan ini," katanya.

Sementara itu, seorang penuntut jurusan mekanikal tahun kedua UTM, Ahmad Mustafa Sulaiman, 26, berkata, peluang untuk pulang ke rumah dapat mengubati kerinduan selepas empat bulan tidak bertemu keluarga.

Anak kedua dari enam beradik itu berkata, dia akan menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin dan turut menjaga SOP.

"Saya pulang ke Shah Alam dan saya seronok kerana berpeluang meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

"Walaupun beraya saya berharap semua penuntut menjaga SOP kerana kami perlu pulang ke kampus untuk meneruskan pengajian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seramai 2,073 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuat permohonan untuk pulang ke kampung.

Sehingga kini seramai 689 penuntut UTM dibenarkan pulang.

Penuntut dibenarkan pulang ke rumah bermula 6 hingga 12 Mei 2021 dan perlu pulang semula ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei 2021.

Disiarkan pada: May 7, 2021 @ 11:35am
d