mutakhir

'Terima kasih, dapat sambut Aidilfitri di kampung, pengangkutan disediakan' [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pulang ke pangkuan keluarga tercinta bagi menyambut Aidilfitri adalah peluang keemasan yang sangat berharga bagi penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Apatah lagi, dalam usaha mengekang penularan Covid-19 tidak semua bernasib baik seperti mereka.

Muhammad Afif Farhan Fauzi, 25 tahun, menyifatkan keputusan kementerian dan UiTM membenarkan penuntut pulang menyambut Aidilfitri amat dihargai dan sangat wajar.

"Alhamdulillah syukur, saya gembira dapat kembali pada keluarga selepas beberapa bulan tidak berjumpa terutama ketika Aidilfitri bakal menjelang.

"Usaha UiTM dan semua pihak amat wajar, bukan sahaja kami dapat pulang, pengangkutan juga disediakan, terima kasih," katanya ketika ditemui di perkarangan Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perubatan itu dihantar ke UiTM Seri Iskandar, Perak memandangkan dia akan pulang ke kampung halaman di Batu Gajah, Perak.

Muhammad Afif Farhan antara penuntut UiTM kumpulan terawal yang dihantar pulang menerusi Ops Pulang Aidilfitri yang bermula hari ini.

Sementara itu, Adibah Nur Fatin Shariffudin, 23 tahun yang akan pulang ke Segamat, Johor melahirkan kesyukuran dengan peluang yang diberikan untuk bertemu keluarga.

"Seronok dapat balik kampung cuma sedih tiada lagi suasana balik kampung macam dulu, tak dapat beli tiket sendiri, naik bas awam dengan suasana balik kampung sebenar ketika Aidilfitri.

"Saya sudah tahu (kena kuarantin) dan sudah maklumkan kepada keluarga apabila pulang ke sini semula, saya perlu diasingkan selama 10 hari.

"Kawasan saya di Segamat adalah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya yang akan dihantar ke UiTM Segamat.

Bagi Nor Azura Hanis Halim, 23, pula berkata, memandang dia dari kawasan PKP, dia tetap akan mengasingkan diri terlebih dahulu sebelum bertemu ahli keluar dalam kalangan warga emas.

"Saya gembira sangat dapat balik jumpa dan tengok wajah ibu ayah, itu cukup menggembirakan.

"Saya tetap jarakkan diri sekejap ada atuk, tok wan yang agak berusia sebelum bergaul dengan mereka semua," katanya yang akan pulang ke Alor Setar, Kedah.

Semalam, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Suzeren Md Jamil dalam kenyataan berkata, penuntut yang pulang beraya dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menjalani proses pengasingan apabila kembali semula ke kampus.

Disiarkan pada: May 7, 2021 @ 12:59pm
d