mutakhir

Degil tak boleh diasuh! Denda RM1,500 sebagai 'ubat'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Duduk rapat-rapat sambil minum arak. Itu tindakan 15 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bahau di sini, yang didapati engkar Prosedur Operasi Standard ( SOP) membendung Covid-19.

Kesemua pengunjung pusat hiburan itu bagaimanapun ditahan polis dalam operasi diadakan jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis disertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Perbandaran Jempol ( MPJL ).

Menurutnya, terdapat 22 individu berusia 22 hingga 45 berada di dalam premis berkenaan namun 15 daripadanya didapati melanggar SOP penjarakan sosial ditetapkan.

"Semua mereka dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang. Polis turut mengeluarkan kompaun RM25,000 terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kesalahan aktiviti di dalam pub atau kelab malam.

"Kesemua individu terbabit turut menjalani saringan dadah dan seorang pengunjung didapati positif dadah jenis morfin.

"MPJL juga mengeluarkan kompaun RM5,000 terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 ," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2021 @ 6:18pm
d