mutakhir

Sempat ucap 'selamat tinggal' sebelum dibawa arus

Oleh BERNAMA

Seremban: Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas akibat tergelincir ke dalam longkang di Flat Cempaka, Seremban 2, dekat sini, hari ini, sempat mengucapkan selamat tinggal kepada abangnya sebelum dibawa arus.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, bermain dengan abangnya berusia 10 tahun dan seorang rakan lain berusia 12 tahun sebelum tergelincir ke dalam longkang itu.

Ibu mangsa, Nur Ain Ismail, 27, berkata dia diberitahu oleh anak sulungnya berusia 10 tahun bahawa mangsa sempat mengucapkan 'selamat tinggal' sebelum dibawa air deras di longkang berkenaan.

Menurutnya, selepas mendapat panggilan daripada anak sulungnya, dia terus bergegas ke tempat kejadian yang menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu.

"Ketika kejadian, saya sedang bekerja di sebuah rumah kebajikan di Rasah. Anak sulung menghubungi saya dan memberitahu adik lemas.

"Ketika itu, saya terus bergegas ke tempat kejadian. Saya reda dengan kejadian menimpa keluarga ini dan berharap anak saya ditemukan dengan segera," katanya dengan nada sedih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, operasi mencari mangsa kini giat dilakukan di Kolam Tadahan Air Taman Arowana Impian dengan bantuan 10 anggota polis serta 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2.

Beliau berkata, mengikut penilaian bomba, laluan air itu akan terus ke Mambau dan tumpuan operasi pencarian dilakukan secara atas permukaan dan dibantu anggota skuba.

Berita berkaitan

'Budak lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh longkang'

Disiarkan pada: May 8, 2021 @ 11:52pm
d