mutakhir

Sanggup menyamar pegawai kanan polis untuk rentas negeri

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Seorang lelaki sanggup menyamar sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kelulusan permohonan rentas negeri sebelum ditahan di Balai Polis Petaling Jaya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berusia 65 tahun itu datang ke balai polis bagi memohon permit rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata, suspek menunjukkan gambarnya memakai seragam lengkap di telefon pintar.

"Suspek mengaku bergelar 'Datuk' dan berpangkat Asisten Komisioner Polis tanpa menunjukkan sebarang bukti identiti sebagai pegawai kanan polis.

"Anggota bertugas ketika itu meminta suspek mengemukakan sebarang dokumen yang menunjukkan dia adalah pegawai kanan polis namun dia gagal berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, susulan itu, suspek ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang kad identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai penjawat awam.

"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai sentiasa diingatkan supaya mematuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk permohonan rentas negeri dan daerah," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 12:37pm
d