mutakhir

Sarawak kekurangan 3,000 guru

Oleh Melvin Joni

Kuching: Nisbah 90:10 anak tempatan dengan dari negeri lain menyebabkan Sarawak berdepan masalah kekurangan guru yang mencecah 3,000 orang ketika ini.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Adam Prakash Abdullah berkata, masalah itu membabitkan sekolah yang terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Nisbah 90:10 tidak pernah diminta oleh guru tetapi oleh pihak tertentu bagi memastikan guru kelahiran Sarawak mendapat peluang mengajar di tanah asal mereka dan ini menyebabkan kekurangan.

"Permintaan itu telah dipenuhi tetapi kekosongan yang ditinggalkan oleh guru dari Semenanjung dibiarkan kosong kerana dasar ini.

"STU tidak faham mengapa dasar ini masih berlaku apabila kita tahu bahawa ia adalah punca kepada keseluruhan masalah ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangani segera masalah berkenaan, yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, sudah tiba masanya untuk Sarawak melihat semula dasar berkenaan demi kepentingan pendidikan anak-anak dan kebajikan guru.

Adam menambah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong perlu berbincang secara serius dengan KPM mengenai penempatan guru ke Sarawak.

Pada masa sama, beliau berharap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dapat melonggarkan dasar 90:10 untuk membantu mengurangkan kekurangan guru di negeri ini.

"Sekiranya kita memerlukan guru dari Semenanjung, buka pintu dan biarkan mereka membantu kita kerana guru di Sarawak menanggung beban kekurangan 3,000 guru ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kita bercakap tentang bangunan sekolah dan kuarters guru yang usang tetapi kita masih dapat bertahan dari kesusahan demi anak-anak.

"Kita masih membincangkan masalah asas, tetapi bilakah kita dapat membincangkan kemajuan prestasi sekolah?" katanya.

Adam berkata, STU berharap kerajaan Sarawak mengambil serius masalah berkenaan kerana Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak hanya dapat membantu penempatan guru sekiranya ia mencukupi.

Katanya JPN Sarawak tidak boleh bertanggungjawab ke atas kekurangan ini kerana ini bukan dasar yang dibuat oleh JPN Sarawak.

Malah, beliau berkata pada masa ini, JPNS juga menghadapi masalah dalam memenuhi permintaan perpindahan oleh guru yang sedang berkhidmat di negeri ini.

"Guru-guru ini juga perlu bersama keluarga, tinggal di rumah mereka sendiri setelah bertahun-tahun tinggal di sekolah dan kuarters, mereka juga memerlukan kehidupan.

"STU sentiasa bersedia membantu kerajaan negeri sekiranya diperlukan dan kami akan bekerjasama dengan JPN Sarawak dalam menyelesaikan perkara ini.

"Janganlah kita menunggu lima atau 10 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 6:18pm
d