mutakhir

Bot, empat kru Myanmar ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru warga Myanmar kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 1.9 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih, di sini, semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan bot itu dilakukan bot peronda milik APMM ketika penugasan operasi di sekitar perairan Pulau Sembilan pada 3.15 petang.

Menurutnya, bot berkenaan dipintas dan diberhentikan oleh anggota bot peronda ketika sedang melakukan aktiviti perikanan.

"Bot kelas B1 itu didapati menangkap ikan dalam kawasan yang dilarang iaitu kurang dari 3.0 batu nautika.

"Bot yang menggunakan pukat tunda berkenaan dikendalikan empat kru warga Myanmar berusia antara 34 hingga 39 tahun dan pemeriksaan turut mendapati mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan berkata, bot yang berpangkalan di Hutan Melintang itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, semua kru warga asing bersama bot dengan hasil tangkapan 30 kilogram pelbagai jenis ikan itu diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan malam untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 9:24am
d