mutakhir

'Perang' pintu gerbang

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Perang pintu gerbang Aidilfitri di beberapa buah kampung di Rengit dekat sini, menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan hari raya tidak lama lagi.

Pintu gerbang dan dekorasi yang dihiasi dengan pelita dan limpahan kilauan lampu LED di 27 buah kampung di sini, menjadikan penduduk kampung saling berentap mengetengahkan idea kreatif masing-masing.

Penghulu Mukim 11 Sungai Punggur, Saifuddin Sabari berkata, kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri mula dirasai apabila kawasan sekitar kampung diterangi cahaya pelita dan LED yang turut mewujudkan suasana ceria.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini tidak menghalang tradisi memasang pelita bagi menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur.

"Menghias pintu gerbang dengan pelita serta LED di setiap laluan masuk ke kampung-kampung merupakan tradisi bagi masyarakat di sini walaupun ia semakin dilupai.

"Susulan itu, pada tahun ini penduduk kampung bersemangat untuk mengembalikan tradisi menghias pintu gerbang Aidilfitri bagi menghidupkan suasana kemeriahan menyambut hari raya di kampung," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Tengah, Rengit.

Saifuddin berkata, pembabitan generasi belia dan orang lama dalam masyarakat kampung menjadikan tradisi menghias pintu gerbang berkenaan menjadi lebih jitu.

"Cetusan idea kreatif daripada anak-anak muda dan pengalaman golongan orang lama juga merupakan satu kerjasama yang baik dan mendapat hasil ciptaan pintu gerbang yang lebih kreatif dan ceria.

"Masyarakat kampung di sini memegang satu moto iaitu 'Guyup' berasal daripada bahasa jawa yang membawa maksud penyatuan ataupun penggabungan, yang mana orang lama dan juga orang baru bergabung untuk memeriahkan kawasan dan juga menyambut bulan Ramadan.

Sementara itu, Penyelaras Pertandingan Riang Pelita Aidilfitri 2021 berkata, pihaknya berbesar hati untuk menganjurkan pertandingan menghias pintu gerbang Aidilfitri di kawasan Rengit pada tahun ini.

"Objektif pertandingan yang diadakan ini adalah untuk menceriakan kampung bagi menyambut kedatangan Syawal disamping dapat mengeratkan silaturahim masyarakat setempat.

"Pihak penganjur juga menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 untuk pemenang di tempat pertama, RM700 (kedua), RM500 (ketiga) serta sijil bagi kampung-kampung yang menyertai pertandingan menghias pintu gerbang Aidilfitri tercantik," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 11:08am
d