mutakhir

Hanya buka pelitup muka ketika wawancara

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menafikan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka seperti tular di media sosial.

Azmi berkata, satu video wawancara televisyen (TV) membabitkan Ketua Polis Kuala Lumpur dimuatnaik di TikTok.

Menurutnya, wawancara TV itu diadakan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur ketika pemantauan pematuhan SOP di kawasan terbabit.

"Dalam video yang dirakam oleh pemilik akaun TikTok itu, individu itu menyatakan: 'Sekarang ini Dato ni tak pakai mask… Dia suruh orang ikut SOP tapi mask (pelitup muka) dia mana? Jadi kita saman dia.'

"Menjelaskan berkenaan isu pemakaian pelitup muka, saya hanya membuka pelitup muka sejurus sebelum wawancara bermula dan terus memakai pelitup muka sebaik sahaja selesai wawancara itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, wawancara itu diadakan secara langsung untuk slot berita stesen televisyen dan pemakaian pelitup muka dikhuatiri mengganggu kejelasan penyampaian mesej berikutan lokasi wawancara itu agak bising.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polisyang berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 2:16pm
d