mutakhir

Warga asing kantoi beli dokumen rentas negeri palsu RM200

Oleh Roselan Ab Malek

Bentong: Dua lelaki warga asing kantoi apabila didapati menggunakan dokumen rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM200 ketika diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada mulanya menahan sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang yang menuju ke Kuantan pada 1.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati warga asing berusia 24 dan 27 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka menggunakan dokumen rentas negeri yang meragukan.

"Kami menghubungi balai polis yang mengeluarkan dokumen rentas negeri berkenaan sebelum mereka menafikan ada mengeluarkan dokumen seperti yang ditunjukkan warga asing terbabit.

"Hasil siasatan mendapati dokumen yang diguna warga asing berkenaan adalah salinan dan warga asing terbabit mengaku ia diperolehi daripada seorang rakannya bernama Mezan dengan bayaran RM200 setiap satu.

"Selain itu, kedua-dua suspek itu turut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah (pasport)," katanya.

Zaiham berkata, kes berkenaan mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63

Sementara itu, empat penumpang bas berusia antara 21 hingga 37 tahun yang menghala ke pantai timur dikompaun kerana tiada surat rentas negeri.

Menurutnya, kesemua penumpang itu dikompaun mengikut Peraturan 25 (A) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengetatkan pemeriksaan di semua SJR antara negeri di daerah itu yang membabitkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: May 11, 2021 @ 11:27am
d