mutakhir

Harga daging lembu segar mahal... Tanyalah pembekal!

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Peniaga daging lembu segar di negeri ini akur apabila mengikut ketetapan harga siling daging pada kadar RM34 sekilogram.

Ia selaras dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 seperti digariskan kerajaan sebelum ini.

Tinjauan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, mendapati daging lembu segar dijual mengikut harga siling iaitu RM34 sekilogram untuk daging pejal.

Selain daging segar, harga tulang juga dijual RM34 sekilogram manakala tetel dijual antara RM15 hingga ke RM18.

Malah kira-kira jam 11.30 pagi semalam, ada di antara peniaga didapati sudah berkemas untuk pulang berikutan daging dijual habis diniagakan.

Peniaga daging, Mohd Sham Samad, 56, berkata, walaupun harga jualan sepatutnya lebih tinggi daripada harga siling ditetapkan namun dia dan peniaga lain perlu akur bagi mengelakkan dikenakan sebarang tindakan.

Dia yang sudah berniaga sejak tujuh tahun lalu berkata, untung yang diperoleh tidak begitu banyak kerana harga lembu yang dijual pembekal juga agak tinggi.

"Ada untung ada rugi, kiranya dengan harga jualan begitu untung diperoleh boleh dikatakan biasa-biasa sahaja.

"Kalau diikutkan harga jualan sepatutnya lebih tinggi. Tetapi apakan daya apabila arahkan sudah dikeluarkan (kerajaan) peniaga perlu ikut," katanya.

Sementara itu pelanggan, Zaiton Mohd, 69, berkata, harga daging segar tidak sepatutnya mencecah sehingga RM40 sekilogram.

"Bagi saya sebagai pembeli, harga ditetapkan RM34 itu sudah memadai dan tidak membebankan pembeli," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2021 @ 4:23pm
d