mutakhir

Denda RM3,000, bahana `geram' punggung

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Seorang peniaga didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencabul seorang wanita di sebuah restoran di Aurora Walk, Bahau di sini.

Tertuduh, R Rasamany, 41, dari Jementah, Johor, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab di Mahkamah Majistret Bahau di sini, tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 8.30 malam, 25 April lalu, mencabul mangsa berusia 46 tahun dengan memegang punggung mangsa menggunakan tangan.

Susulan itu dia dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mencabul punggung mangsa dari belakang menyebabkan mangsa tidak puas hati dengan tindakan tertuduh.

Rakaman kamera litar tertuduh ( CCTV ) di restoran berkenaan jelas menunjukkan perbuatan tertuduh.

Muhammad Hidayat turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: May 11, 2021 @ 6:25pm
d