mutakhir

Ejen hartanah didakwa tipu babitkan pembelian jam RM3 juta

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengurus sebuah kedai jam tangan berhubung pembelian 281 utas jam tangan pelbagai jenama yang keseluruhan bernilai RM3 juta, dua tahun lalu.

Tjoeng Chan Chin, 43, didakwa menipu Ng Chor Kee, 53, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh telah membuat pembayaran bagi pembelian 281 utas jam tangan melalui satu keping cek bank bernilai RM3 juta, sedangkan tertuduh mengetahui bahawa akaun bank atas sebuah syarikat telah ditutup.

Perbuatan itu dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan jam tangan tersebut kepada tertuduh di mana mangsa tidak akan berbuat sedemikian, sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai jam tangan di pusat beli-belah di Lingkaran Syed Putra Kuala Lumpur, Brickfields di sini pada 25 Okt 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh mempunyai beberapa kes lain di Johor, Petaling Jaya dan Puchong, Selangor, atas kesalahan menipu.

"Jaminan yang tinggi adalah untuk mengelakkan tertuduh daripada melarikan diri," katanya.

Peguam K Jaikumaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung seorang isteri tidak bekerja dan dua anak serta ibu bapanya yang sudah berusia.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: May 11, 2021 @ 6:29pm
d