mutakhir

Pelajar perempuan dibelasah akibat ejek rakan sekolah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bukit Beruntung: Seorang remaja perempuan cedera dibelasah kerana dikatakan mengejek rakan sekolahnya, di sini, 4 Mei lalu.

Kejadian pada 3.15 petang itu berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah ini selepas mangsa berusia 13 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, guru sekolah berkenaan memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa pada 6.26 petang.

"Sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring dengan kecederaan di beberapa bahagian badan.

"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke zon kuning untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dibelasah dua pelajar perempuan sekolah berkenaan sebelum ditemui.

Katanya, punca pergaduhan itu dikatakan kerana mangsa mengejek suspek yang kemudiannya tidak berpuas hati sebelum dibelasah.

"Polis sudah mengenal pasti pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2021 @ 9:22pm
d