mutakhir

Berkorban tidak sambut Aidilfitri di Sabah

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Selepas ibunya meninggal dunia pada 2016, Nazian Tai Jee Yen mengambil tanggungjawab membantu bapanya melakukan persiapan setiap kali menyambut Aidilfitri.

Namun, pada sambutan tahun ini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Industri Bioteknologi itu membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman di Lahad Datu, Sabah.

Sebaliknya, penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) berusia 22 tahun itu memilih beraya bersama rakan di kampus berikutan penularan Covid-19, selain penerbangan ke Sabah yang tinggi.

Nazian berkata, sememangnya semua penuntut mempunyai keinginan untuk pulang berhari raya bersama keluarga, tambahan pula dirinya adalah anak sulung daripada empat beradik.

Menurutnya, dia mempunyai tanggungjawab membantu bapanya untuk membuat persiapan menyambut 1 Syawal sejak pemergian ibunya.

"Faktor kos juga memainkan peranan kerana untuk pulang ke Sabah memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,000.

"Pada masa sama, faktor keselamatan dan kesihatan juga penting, malah sehingga kini saya sudah menjalani empat kali ujian calitan.

"Sebagai persiapan menyambut hari raya, saya membeli baju raya dan biskut raya secara dalam talian. Memang sedih jika dikenangkan, tetapi ia suatu pengorbanan demi pengajian," katanya.

Rakan sebilik Nazian, Fairuz Harizah Ramlan, 22, berkata Aidilfitri tahun ini adalah kali pertama dia tidak dapat beraya bersama keluarga.

"Kebiasaannya setiap kali raya, saya akan membantu ibu membuat persiapan dan merindui saat memasang langsir dan membuat kuih raya.

"Tetapi tahun ini saya hanya beraya bersama rakan yang tinggal di kampus sahaja," katanya yang berasal dari Tuaran, Sabah.

Nazian dan Fairuz Harizah antara 1,200 penuntut UMP yang memilih untuk kekal di kampus sempena Aidilfitri yang akan disambut, esok.

Disiarkan pada: May 12, 2021 @ 6:31pm
d