mutakhir

Nilai Impian tenang, tiada perlanggaran SOP

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Nilai: Pemeriksaan polis dari rumah ke rumah pada hari pertama Aidilfitri mendapati kawasan perumahan di Nilai Impian di sini, tenang.

Ia sekali gus menafikan dakwaan dalam satu ciapan Twitter petang hari ini daripada pemilik akaun 'No War But Class War' yang membuat ciapan, "area (kawasan) rumah aku Nilai Impian. Tuan rumah (dikompaun) RM25K (RM25,000), tetamu RM5K (RM5,000)."

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati, tiada sebarang aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang tular dalam media sosial hari ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati, memang berlaku pengurangan pergerakan kenderaan memasuki daerah berkenaan dan keadaan aliran trafik berada dalam keadaan baik serta lancar.

Tinjauan turut dilakukan di kawasan perumahan di Nilai Impian selepas tular dakwaan kes kompaun berkenaan, namun mendapati tiada sebarang aktiviti atau orang ramai yang berkumpul di luar rumah setakat tengah hari tadi.

Mohd Fazley berharap pematuhan SOP ini berterusan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan menyeru masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan komited dalam mematuhi SOP.

"Sekiranya anggota polis mendapati ada orang awam melakukan aktiviti yang melanggar SOP, kita akan ambil tindakan undang-undang kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan rumah ke rumah di Nilai Impian, di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 31 pasukan pematuhan SOP terdiri daripada 60 anggota polis akan melakukan pemantauan SOP Aidilfitri di sekitar Nilai dalam masa satu hari.

Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 11:26pm
d