mutakhir

Pemilik inap desa dikompaun RM20,000

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Polis mengeluarkan kompaun RM20,000 ke atas pemilik sebuah inap desa, di sini, kerana gagal mengawal kemasukan pelanggan di dalam premis sehingga berlaku kesesakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik berusia 40 tahun itu dikompaun ketika operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena hari raya pertama semalam.

"Selain itu, 10 pelanggan lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun turut dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi SOP.

"Ada di antara mereka yang tidak mengimbas kod QR MySejahtera, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, secara keseluruhan sebanyak 18 kompaun membabitkan jumlah RM88,000 dikeluarkan sepanjang operasi pematuhan yang dijalankan semalam kerana melanggar SOP PKP 3.0.

"Kompaun ini terdiri daripada mereka yang cuba merentas negeri dan melepak di kawasan tumpuan orang ramai.

"Polis daerah ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan terus akan menjalankan operasi pematuhan demi memastikan orang ramai mematuhi SOP.

"Polis bukan suka-suka untuk mengeluarkan kompaun tetapi ia demi menjaga kesihatan semua daripada terkena jangkitan Covid-19 yang kini dilihat makin membimbangkan," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2021 @ 11:47am
d