mutakhir

Kereta terbabas, petani ditemui mati dalam gaung

Oleh Erika George

Bintulu: Seorang lelaki berusia 67 tahun maut selepas Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke gaung sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Rumah Panjang Mekai di Sungai Binyo Pandan dekat sini, kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa hanya ditemui petang semalam selepas penduduk berusaha mengesan kehilangannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Unyat Luis dan ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke kebun berhampiran rumah panjang dihuninya.

"Mangsa adalah petani. Dia gagal pulang ke rumah menjelang petang menyebabkan penduduk rumah panjang berusaha mengesannya di sekitar jalan menuju ke kebunnya.

"Mangsa dan kereta dipandunya akhirnya ditemui dalam gaung itu jam 3 petang semalam," katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1981.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Christus Buson berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian jam 5 petang.

"Kami berjaya mengeluarkan mayat mangsa jam 9.48 malam semalam.

"Mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk proses selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2021 @ 2:16pm
d