mutakhir

Ratusan ikan, udang timbul di Sungai Kopok

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Ratusan hidupan laut termasuk ikan dan udang didapati timbul di permukaan air di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh di sini, sejak pagi hari ini.

Penduduk Kampung Perigi Acheh, Salijah Omar, 34, berkata, pihaknya khuatir kejadian berkenaan berpunca daripada air yang tercemar.

Menurutnya, pelbagai jenis ikan dan udang timbul dari pagi hingga tengah hari dan menimbulkan kebimbangan penduduk kampung.

"Kami tidak berani untuk memakan ikan dan udang berkenaan kerana khuatir ia tercemar.

"Malah kejadian berkenaan bukan berlaku pertama kali malah ia sudah berulang banyak kali sehingga ia menjejaskan mata pencarian nelayan.

"Sebelum ini ada pengusaha yang mengusahakan sangkar ikan di kawasan ini, namun akibat kejadian seumpama ini berulang, mereka terpaksa menggulung tikar," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ayob Osman, 45, berkata, masalah pencemaran Sungai Kopok dan Sungai Daing bukan perkara baru malah ia berlarutan.

"Kita (penduduk) pun tak pasti siapa yang bertanggungjawab jadi kita hanya boleh tunggu hasil siasatan.

"Kami hanya dimaklumkan pihak berkaitan akan siasat namun sehingga kini tiada perubahan malah kami bimbang ada kegiatan pembuangan sisa industri hingga menyumbang kejadian seumpama ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya ada menerima aduan berkaitan kejadian berkenaan.

"Pegawai penyiasat sudah ke lokasi untuk membuat siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2021 @ 4:29pm
d