mutakhir

Warga emas maut disengat tebuan tanah

Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Seorang wanita warga emas ditemui maut dipercayai disengat tebuan tanah selepas keluar mencari rebung di kawasan hutan dekat Jalan Baru Semadong, Beseri, di sini, hari ini.

Mangsa, Low Koi Lan, 61, dari Kampung Guar Jentik, Beseri tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari rebung di kawasan berkenaan sekitar 12 tengah hari sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, kira-kira 3 petang, dua anak saudara mangsa datang ke Balai Polis Beseri untuk memaklumkan kehilangan Low selepas keluar mencari rebung sebelum itu.

"Anak saudara mangsa juga sudah beberapa kali menghubungi mangsa, namun tidak berjawab dan lapan anggota polis dari Balai Polis Beseri termasuk enam anggota Sukarelawan Polis dikerah ke lokasi yang didakwa sering menjadi tempat mangsa mencari rebung di kawasan Semadong itu.

"Selepas hampir empat jam pencarian dilakukan, akhir mayat mangsa ditemui di perdu pokok buluh di Jalan Baru Semadong dan pemeriksaan awal pada mayat mangsa mendapati terdapat kesan antara 40 hingga 50 sengatan tebuan tanah," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah pada 9.30 malam untuk proses bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2021 @ 11:59pm
d