mutakhir

Misteri bau busuk terungkai

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Misteri bau busuk yang dihidu jiran dari sebuah rumah di Lengkuk Ipoh, Taman Ipoh, di sini membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas di bahagian dapur rumah itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemeriksaan mendapati terdapat mayat seorang lelaki di rumah itu namun pihaknya gagal masuk ke dalam memandangkan pintu rumah berkunci.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu kira-kira 11.10 pagi daripada seorang lelaki yang memberitahu sudah tiga hari tidak melihat kelibat jirannya selain memberitahu terdapat bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan.

Katanya, pasukan bomba dihubungi bagi bantu memotong mangga di pintu pagar dan jeriji besi belakang rumah bagi membolehkan polis memasuki rumah itu.

"Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dianggarkan mati sejak lima hari lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

A Asmadi berkata, usaha sedang dilakukan bagi mengesan butiran diri mangsa dan waris selain sekiranya terdapat sejarah perubatan mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat dan kes dikelaskan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 8:26pm
d