mutakhir

Ketua Polis Daerah Marang nafi keluarkan kenyataan tular

Oleh Zaid Salim

Marang: Polis menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan memberi peringatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, kenyataan yang disebarkan menerusi WhatsApp Komuniti DUN Rhu Rendang itu dikesan hari ini.

"Selaku Ketua Polis Daerah, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu atau sebarang berita yang tidak sahih adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, kenyataan yang disebarkan itu juga menyebut Akta 134 akan dikenakan kepada mereka yang ditahan kerana melanggar SOP pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sedangkan akta itu adalah Akta Orang Asli.

Mohd Zain berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat membuat penyebaran berita dan kandungan palsu.

"Denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang penyebaran berita palsu kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

Disiarkan pada: May 17, 2021 @ 11:45am
d