mutakhir

Volvo MB Kedah dibida RM150,000

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor akhirnya 'melepaskan' kereta kesayangannya kepada pemilik baharu selepas ia dibida pada harga RM150,000.

Muhammad Sanusi berkata, bidaan bagi kereta Volvo XC60 3.0cc AWD T6 miliknya itu ditutup pada 10 pagi hari ini selepas ia diumum akan dijual bagi mendapatkan dana untuk membantu rakyat Palestin, Sabtu lalu.

"Saingan bidaan sangat sengit termasuk daripada orang bukan Islam, terdapat kira-kira 20 orang membuat bidaan namun pada jam terakhir ada dua ahli perniagaan membuat bidaan yang semakin tinggi.

"Akhirnya pada 9.59 pagi tadi, Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Mohammad Yaakub Yusra menghantar bidaan tertinggi RM150,000 iaitu hampir tiga kali ganda harga asal yang saya tawarkan iaitu RM55,000," katanya ketika sidang media di Kompleks Pas Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi sanggup menjual keretanya demi membantu penduduk Palestin yang sedang diserang rejim Zionis ketika ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata kereta itu ditawarkan dengan harga bidaan bermula RM55,000 selepas membeli kereta itu dengan harga RM60,000 pada 2018.

Muhammad Sanusi berkata, wang jualan kereta itu iaitu sebanyak RM80,000 sudah dipindah ke Tabung Palestin Pas Relief hari ini, manakala baki RM70,000 akan dipindahkan esok.

Sementara itu, Mohammad Yaakub berkata, beliau sanggup membida harga tinggi bagi mendapatkan kereta itu demi bersama menyumbang kepada rakyat Palestin.

Menurutnya, wang yang digunakan untuk bidaan itu adalah wang peribadinya dan kereta itu akan diwakafkan untuk kegunaan tenaga pengajar di sekolah agama persendirian miliknya.

"Kita tidak akan kaya dengan menyimpan harta dan kita juga tidak akan miskin dengan memberi," katanya.

Pada sidang media sama, Pesuruhjaya Pas Kedah Ahmad Yahaya mengumumkan Pas Kedah berjaya mengumpul RM1.57 juta hasil sumbangan orang ramai untuk Tabung Palestin Pas Relief.

Menurutnya, wang itu disumbangkan melalui 15 kawasan Pas di Kedah sejak Jumaat lalu dan urusan seterusnya adalah menyerahkan kepada pihak di Gaza melalui Aid4Palestine.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 6:32pm
d