mutakhir

MB nafi 'full lockdown' di Perak Jumaat ini

Oleh BERNAMA

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menafikan mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau 'full lockdown' akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak Jumaat ini.

Beliau berkata, hingga hari ini, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan dan masih mengadakan perbincangan lanjut berkenaan hal itu.

"Saya tidak pasti (dari) mana datangnya sumber maklumat itu. Yang pastinya, kita memang ada beberapa siri mesyuarat yang dijalankan bagi perbincangan berkaitan PKP namun belum mempunyai keputusan muktamad.

"Malahan, pada 3 petang ini, akan ada mesyuarat bagi memperhalusi keperluan untuk menangani kes Covid-19 yang semakin membimbangkan di Perak terutamanya daerah Kinta, Hulu Perak, Larut dan Selama," katanya dalam sidang media maya dari pejabatnya hari ini.

Mesej tular itu antara lain menyebut, esok Perak akan mengumumkan pelaksanaan PKP lebih ketat yang mula berkuat kuasa pada Jumaat berikutan kebolehjangkitan yang tinggi akibat varian Afrika Selatan.

Perak mencatatkan 160 kes positif Covid-19 dan tiga kes kematian semalam.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri telah meningkatkan jumlah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Badminton Ipoh daripada 208 kepada 308 buah bagi menampung unjuran kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.

Selain itu jelasnya, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti lokasi PKRC yang baharu sama ada di Zon Utara atau di kawasan Hilir Perak bagi meningkatkan kesiapsiagaan Perak menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes jangkitan yang berlarutan.

"Perak tidak lagi boleh bergantung kepada PKRC di MAEPS Serdang, Selangor atau di Seberang Perai di Pulau Pinang memandangkan kedua-dua PKRC berkenaan juga menghadapi peningkatan jumlah pesakit.

"Dalam pada itu, kita juga telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan makan dan minum kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai sokongan berterusan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terus berjuang memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," jelasnya.

Saarani juga memohon agar semua PPV sentiasa memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga dengan kawalan agar tidak berlaku kesesakan yang boleh membawa kepada risiko penularan kluster baharu.

p>

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 3:10pm
    d