mutakhir

Sindiket judi atas talian tumpas

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Polis menumpaskan sindiket perjudian atas talian yang menjadikan sebuah rumah sebagai pusat panggilan di Taman Sunway, Bukit Lenang, Johor Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan pada jam 6.30 petang ke atas rumah terbabit dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

"Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki dan empat wanita berusia 20 hingga 30 tahun disyaki sedang menjalankan kegiatan perjudian atas talian.

"Polis merampas 11 komputer, 46 telefon bimbit, satu fail dokumen rekod perjudian, 143 kad sim, sebuah set Internet dan 14 kad pengeluaran wang automatik. Nilai rampasan bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah terbabit dijadikan pusat panggilan termasuk bagi aktiviti transaksi wang menerusi akaun bank di Kemboja serta membabitkan aktiviti pelaburan perjudian di negara ini, Singapura dan Hong Kong.

Menurutnya, anggaran transaksi harian adalah antara RM50,000 hingga RM100,000.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari hingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 6:43pm
d