mutakhir

Masjid Kapitan Keling diterangi cahaya warna bendera Palestin

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Limpahan cahaya lampu dengan warna bendera Palestin mewarnai masjid tertua di Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling di Jalan Buckingham di sini, hari ini.

Inisiatif berkenaan adalah simbolik solidariti penduduk di negeri itu terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam serangan tentera rejim Zionis.

Pengerusi Masjid Kapitan Keling Faruk Raja Mohamed berkata, lampu berkenaan dipasang bermula 7 malam hingga 7 pagi.

Menurutnya, lampu berwarna itu dipasang selama 12 jam sehari itu dan akan berterusan sehingga Palestin bebas daripada serangan kekejaman Israel.

"Masjid ini akan bermandi cahaya lampu berwarna merah, hijau, hitam dan putih sebagai simbolik kepada bendera Palestin sepanjang tempoh itu.

"Setiap solat fardu juga kita akan panjatkan doa buat negara itu selain melakukan derma bagi membantu saudara Islam di sana," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Faruk berkata, inisiatif itu juga sebagai tanda kebersamaan kariah masjid serta penduduk Pulau Pinang terhadap denyut nadi rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis Israel.

"Rakyat di negeri ini turut mengambil kesempatan berkongsi gambar masjid berkenaan di media sosial masing-masing," katanya lagi.

Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 10:25pm
d