mutakhir

Empat ditahan kes pecah kedai jam

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah sebuah kedai jam di Taman Bayu Perdana, dekat sini, pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, keempat-empat suspek warga tempatan berusia 19 hingga 38 tahun itu ditahan pada 1.30 pagi semalam di sekitar daerah Klang.

Katanya, kejadian berkenaan disedari pemilik kedai jam iaitu seorang wanita berusia 60 tahun pada 10.30 pagi 29 April lalu.

"Mangsa mendapati kedainya dipecah masuk melalui pintu belakang susulan terdapat kesan dipotong pada pintu jeriji.

"Suspek didapati melarikan hampir semua jam tangan pelbagai jenama di paparan kaca. Dianggarkan kerugian dialami mangsa berjumlah RM19,950," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan tangkapan empat suspek itu, polis merampas 41 jam tangan pelbagai jenama dan semua suspek mengaku terbabit dalam kes itu.

Menurutnya, semakan rekod mendapati dua daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, semua suspek direman antara tiga hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 10:47am
d