mutakhir

Burger punya pasal pun nak mengamuk? [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Hanya kerana kesilapan pesanan, seorang pelanggan restoran makanan segera 'naik hantu' dan bertindak ganas merosakkan mesin juruwang di kaunter premis.

Melalui video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit lapan saat yang tular di media sosial itu, lelaki terbabit turut memaki hamun pekerja restoran berhampiran sebuah pasar raya di Ampang di sini.

Rakaman itu turut menunjukkan lelaki terbabit kemudian menolak mesin juruwang yang berada di atas kaunter restoran berkenaan hingga jatuh ke lantai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan kejadian itu daripada pengurus restoran pada jam 4.30 petang kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 12.15 tengah hari apabila seorang pelanggan lelaki datang ke kaunter dan membuat pesanan makanan.

"Lelaki itu memarahi pekerja yang sedang bertugas kerana silap menerima pesanan.

"Polis juga sudah merakam keterangan pengadu dan melawat lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kerugian dan kecederaan yang dialami pengadu.

Katanya, pengadu juga tidak berhasrat untuk meneruskan kes berkenaan.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 6:00pm
d