mutakhir

Dua nelayan hilang ketika memancing

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Dua nelayan dilaporkan hilang ketika memancing di perairan Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kejadian itu membabitkan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A yang dinaiki dua lelaki.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dikenali sebagai Jaafar Sulong yang juga tekong berusia 66 tahun manakala krunya Baharuddin berumur lingkungan 30-an dan mereka dikatakan berasal dari Seberang Takir.

"Kita menerima laporan kejadian itu pada pagi tadi selepas dihubungi keluarga mangsa yang sebelum itu sudah membuat laporan polis pada jam 12.30 malam.

"Susulan itu, kami mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 9.40 pagi bagi mengesan kedudukan bot terbabit yang sehingga kini belum ditemui.

"Menurut keluarga mangsa, Jaafar dan Baharuddin yang juga nelayan pantai dikatakan keluar ke laut jam 6.30 pagi semalam dan sepatutnya pulang pada sebelah petang.

"Keluarga mangsa yang bimbang sesuatu kejadian buruk berlaku cuba menghubungi mangsa namun gagal sebelum membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, laporan meteorologi menunjukkan cuaca baik dengan tiada amaran angin kencang atau laut bergelora selain tiada amaran hujan berterusan atau ribut petir.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu, 09-6224357.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 8:26pm
d