mutakhir

Pelancong Kedah ke Genting Highlands ikut SOP

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat pelancongan yang membawa pelancong dari Alor Setar, Kedah ke Genting Highlands, Pahang didapati mematuhi semua garis panduan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik yang ditetapkan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memaklumkan, sebanyak dua bas terbabit dalam rombongan pada 22 April dan pulang 24 April lalu, yang dianjurkan oleh syarikat pelancongan berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

"Siasatan awal mendapati syarikat penganjur mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan dalam prosedur operasi standad (SOP) Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan itu.

"Bagaimanapun, selepas kembali dari Genting Highlands terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan membuat pemeriksaan di klinik kesihatan," menurut kenyataan kementerian itu di sini, hari ini.

Pada 7 Mei lalu, pihak KKM sudah mengesan 16 individu disahkan positif daripada saringan yang dilakukan ke atas 28 orang daripada kumpulan pelancong itu dan proses pengesanan kontak rapat masih diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Alor Setar.

Kenyataan itu turut memaklumkan sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes ini masih belum dapat dikenal pasti dan pihak KKM sedang menjalankan siasatan.

Menurut kementerian, KKM serta pihak polis juga sudah menghubungi syarikat terbabit untuk siasatan lanjut dan pihak syarikat memberi kerjasama dengan menyerahkan semua dokumen perjalanan, permit, Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan atau Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) daripada Motac serta lain-lain dokumen yang diperlukan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan agensi pengendali pelancong serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP aktiviti pelancongan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelancong.

Katanya, ia bagi memastikan supaya aktiviti pelancongan yang dilaksanakan mendapat perlindungan yang maksimum agar keselamatan pelancong serta pengusaha industri pelancongan itu sendiri dapat dipelihara.

Kementerian itu turut berharap insiden tersebut tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan yang dapat beroperasi kelak setelah kebenaran diberikan oleh pihak kerajaan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 dalam negara.

Pada 7 Mei lalu, KKM mengesan kluster baharu melibatkan kluster komuniti di Kota Setar dengan 16 kes positif Covid-19.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 9:18pm
d