mutakhir

Timbalan Pengerusi Tetap Umno meninggal dunia ketika dirawat Covid-19

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Seri Rizuan Ab Hamid meninggal dunia malam tadi, selepas dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 pada 3 Mei lalu.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui hantarannya di akaun Facebook miliknya.

"Dengan rasa sedih dan dukacitanya mendapat perkhabaran sahabat baik saya, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid, Ketua Umno Bahagian Kepong merangkap Timbalan Pengerusi Tetap Umno kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

"Bersama kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para syuhada dan para solihin. Al-Fatihah," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beliau itu berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya akibat Covid-19.

Turut menerima rawatan di ICU adalah isteri beliau iaitu bekas Ketua Auditor Negara, Tan Sri Madinah Mohamed.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 1:15am
    d